ini merupakan soal jawab yang menarik bagi menjernih kan lantas menenangkan pejuang-pejuang gerakan islam di malaysia yang dikala ini dilanda kekalutan. syukran ya ustaz kerana mengingatkan agar para pendukung jemaah tidak merasa dirinya sudah berada dalam jemaah yang ’siap’..kerana ana pun yakin..nak bina bangunan pun..bukan terus-terus ia siap! batu bata, simen, sume kene ade dan perlu ditambah bagi membina banunan tersebut.begitulah jemaah yang ada di mana-mana sekalipun. tak semuanya ’sempurna’ mesti ade check and balance.
*****
salam, sebenarnya sudah beberapa hari saya berusaha untuk memahamkan artikel ustaz kali ni.. selepas berbincang dengan kawan2, dan membaca laman web yang lain, kini saya baru berani nak menyatakan pendapat saya..
disini, saya ingin meluahkan sedikit perasaan dan menyatakan pandangan saya terhadap isu ini..
sejak PRU baru2 ni, saya amat gembira dengan perubahan yang PAS lakukan, ternyata, pada sangkaan saya waktu tu, PAS semakin matang dengan keadaan politik malaysia, saya gembira kerana PAS dalam usaha mempraktikalkan maksud negara Islam yang memang memberi kebajikan kepada semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa. syabas sebab PAS mula berfikiran lebih terbuka dan mula bergabung dengan PKR dan DAP!
namun, kini saya mula sangsi, mimpi ngeri mula menghantui jiwa saya! segalanya bermula dengan PROTES yang dibuat baru2 ini. saya berasa sungguh terkilan dengan apa yang berlaku. aksi menunjuk punggung dan pergaduhan sesama sendiri! apa yang dah berlaku sebenarnya?
saya menunggu2 kenyataan dari tuan presiden PAS, dan lain2 berkenaan dengan isu ini. tapi, penantian saya bagaikan pungguk rindukan bulan… kadang2 saya memikirkan PAS terlalu berlembut, menjaga perasaan rakan2 dalam Pakatan Rakyat, sehingga tak berTEGAS dengan prinsip perjuangan.
saya semakin tak nampak hala tuju perjuangan PAS.
saya sangsi, betul kah PAS sudah menggadaikan prinsip perjuangan?
malah, kenyataan saudara Roslan SMS dalam blognya
(http://n32.blogspot.com/2008/07/bila-exco-pun-tak-faham-saya-yakin.html)
“Sikap dan perangai EXCO ini pasti akan mendatangkan masalah besar kepada PAS kerana ternyata beliau tidak boleh memahami PAS, sedangkan beliau EXCO dalam kerajaan campuran bersama PAS.”
menjadikan saya menjadi semakin takut, bahkan ketakutan saya semakin kemuncak apabila membaca komen2 dari pembaca dalam blog beliau.. ya Allah… saya takut jika harapan saya yang ingin melihat PAS dapat mempraktikalkan konsep negara Islam yang mengutamakan kebajikan itu tidak dapat dilaksanakan! saya merasakan, pelaksanaan ke arahnya kini semakin jauh….
saya begitu kecewa, terkilan dan sedih melihat situasi yang berlaku di Malaysia, di saat kemenangan pembangkang dalam PRU yang lalu, menguasai 2/3 parlimen, saya begitu tak menyangka keadaan ini berlaku!
saya amat berharap agar para pimpinan cepat2 bertindak dalam menjelaskan situasi yang berlaku.. diharapkan agar ahli2 juga membantu para pimpinan dalam memperjuangkan Islam..
saya masih berpegang kepada konsep wala’ dan thiqah! oleh sebab itu, saya tak berani nak memberontak dan keluar dari PAS. Saya lebih memandang kejadian yang berlaku ini adalah disebabkan kemampuan seseorang pemimpin dalam menggerakkan jemaah, bukan nya salah jemaah itu sendiri.
saya amat berharap agar PAS lebih realistik dalam bertindak selepas ini, menganalisa dengan jelas pro dan kontra setiap tindakan yang dibuat. harap tak dilupakan,bahawa kita sekarang, BUKAN pembangkang secara total, tapi kita juga adalah pemerintah.
YA! kita akan terus memperjuangkan TARBIYAH!
TAPI,
pendekatan SIASAH tu, harap tak dipandang ringan!
Islam itu agama yang mementingakan hubungan dengan Allah dan JUGA hubungan sesama manusia..
semoga pakar2 sejarah dan sosial akan membantu perjuangan PAS!
TAKBIR!! 3X
“ya Allah, Kau bantulah PAS di Malaysia, Kau tolonglah mereka, Kau kuatkanlah mereka, tingkatkan kefaham kami dan mereka dalam agama-MU” -ameen-
u/p;
;err.. saya takut jugak kalau2 saya dah bersangka buruk kepada pimpinan PAS, semoga Allah ampunkan saya..
:saya mengutarakan pandangan saya yang kelihatan agak biadap ini, kerana saya ingin rakan2 membetulkan kesilapan atau kesilapfahaman saya(jika ada)…
;tegur dan marahlah saya kalau saya ada buat kesilapan dalam mengutarakan pandangan saya..
******
Abu Saif reply on July 9th, 2008 10:06 am:
Assalamualaikum akhi.Terima kasih di atas komentar yang telus, jujur dan terang. Pandangan sebegini lebih mudah dibawa kepada diskusi kerana menyebut dengan jelas di manakah isi-isi penting yang perlu diperbincangkan.Pertama sekali, pandangan yang saya kemukakan di dalam artikel ini adalah pandangan, analisa dan cubaan menjernihkan apa yang kusut di fikiran. Maka ia bukanlah suatu pendirian rasmi mewakili sesiapa kecuali wacana diri penulis seadanya.
Fikiran dan perasaan kita akan lebih tenang apabila berdiskusi tentang hal-hal sebegini, jika kita mempunyai mindset yang betul tentang gerakan Islam yang kita sertai. Bahawa ia adalah gerakan manusia yang menempuh proses kedewasaan yang berterusan. Maka apa sahaja catatan dan pencapaian sebuah gerakan, ia sentiasa merupakah satu proses ke arah menambahkan kematangan dan kedewasaan yang diperlukan.
Kita akan rasa gelisah, apabila kita sudah menetapkan bahawa gerakan kita sudah siap. Maksud saya, gerakan yang kita pilih kerana terbaiknya gerakan itu, kita anggap sebagai gerakan yang sudah bersiap sedia dan lengkap dengan segala keperluan yang diperlukannya untuk melaksanakan misi yang didukung. Sedangkan ia sama sahaja dengan hukum alam ke atas manusia, bahawa tatkala dirinya rasa telah alim, maka jahillah dia. Jahil kerana berhenti dari terus berusaha menjadikan dirinya alim sedangkan dia perlu kepada banyak ilmu baru setiap hari sepanjang hayatnya. Tatkala sebuah gerakan dianggap oleh pendukungnya sebagai sebuah gerakan yang telah siap, lengkap dan sempurna, maka cacatlah gerakan itu apabila pengikutnya berhenti dari berusaha memperbaiki tanzim mereka.
Jika diambil PAS sebagai contoh, biar pun pengalamannya sudah sarat dan lama, setiap era akan mencabar PAS dengan cabaran yang baru. PAS sudah ada pengalaman menguruskan diri dan masyarakat di era kemerdekaan, di era amerikanisasi 60′an, di era kebangkitan Islam 70′an, era kerjasama dan menjadi sebahagian dari kerajaan pemerintah pada akhir dekad 70′an, era kepimpinan ulama di zaman 80′an, era negara meningkat maju di era 90′an, era reformasi di akhir dekad itu dan senarai ini terus menerus…
Hari ini, cabaran-cabaran yang datang terus bercambah. Elemen baru yang sedang PAS hadapi ialah liberalisasi maklumat yang menjadikan pemikiran masyarakat Muslim dan non Muslim di Malaysia sangat pelbagai, tidak pernah sampai ke tahap ini di mana-mana era sejarah masyarakat Malaysia dan PAS… Kesemua ini menuntut PAS untuk tidak berhenti belajar, mengemas kini, menyemak, menganalisa dan melakukan tindakan yang sepatutnya, supaya cabaran yang datang ini dibalas dengan tindakan yang tepat bagi menjawabnya.
Dalam erti kata yang lain, anta dan kita semua akan rasa tenang, jika kita buang satu idea di dalam fikiran kita bahawa jemaah dan isi kandungan tarbiyah serta fikrahnya adalah kudus dan tidak boleh disentuh, dikritik atau dipersoal.
Soal intima’ dan wala’, adalah soal disiplin dalam gerak kerja jemaah. Dalam pejabat ia boleh dipanggil sebagai akauntabiliti, komitmen, dan sebagainya. Namanya lain, tetapi konsepnya tidak jauh berbeza. Intima’ dan wala’ sebagai disiplin amal jama’ie tidak seharusnya menjadi bahan kimia yang membisukan ahli gerakan Islam dari bertanya, berbincang, berdialog malah mempersoalkan tindakan serta keputusan kepimpinannya.
Asalkan, segalanya dilakukan dalam suasana AKHLAQ yang tiada toleransi mengenainya.
Adalah tidak mudah untuk PAS memainkan peranannya secara optimum pada suasana dan cabaran yang ada hari ini. Ujiannya pelbagai. Usahkan mahu mendidik rakyat, mahu menyebarkan nilai positif di kalangan sesama rakan DAP dan PKR pun, masih merupakan suatu proses yang panjang. Proses memperbaiki pendekatan PAS, bukanlah terjadi hanya dengan kertas kerja dan baca buku. Ia harus datang dari percubaan praktikal, pengalaman malah mungkin kesalahan dan kesilapan. Maka tindakan-tindakan PAS yang dirasakan tidak tepat, seharusnya menjadi bahan analisa untuk penambah baikan. Bukannya bahan untuk menghentam, mengutuk atau mencaci hina. Kecualilah oleh pihak yang meletakkan dirinya sebagai MUSUH kepada PAS. Jika yang menghina kesilapan PAS itu ialah MUSUH, maka janganlah dimarah anjing menyalak bukit kerana itu memang bahasanya dia. Dia musuh, what do we expect?
Maka, janganlah digusarkan insiden-insiden yang telah, sedang dan akan terjadi. Selagi PAS komited dengan prinsip keadilan, kejujuran dan terus menjunjung cita-cita mendaulatkan Syariat Allah, ia akan terus berada dalam kebaikan.
Cuma mungkin pelajaran barunya ialah, dalam usaha mendaulatkan Syariat Allah, Sunnatullah juga harus diperjuangkan. Tidak mungkin kembar si abang selesa, jika adiknya dibiarkan tanpa jagaan. Begitulah Syariatullah dan Sunnatullah dalam memenangkan Islam.
Wallahu A’lam ya akhi al-habib
******************
Kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, satu renungan
Wawancara eksklusif Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang di dalam Harakah sesungguhnya telah membuka banyak ruang dan pintu perbincangan di dalam PAS salah satu rakan kongsi Pakatan Rakyat. Huraian beliau mencerminkan senario sebenar apa yang berlaku sejak PAS terikat di dalam pakatan politik ini.
Mengikut kronologinya PAS memiliki pakatan politik hanya bersama PKR sejak PRU 1999. Dalam PRU ke 12 lalu pakatan ini terus dijalin, walaubagaimanapun tidak dengan DAP. Ketika itu apa yang ada bersama DAP hanyalah persefahaman politik yang antara lainnya berkaitan tiadanya pertembungan kerusi antara sesama PAS/PKR dan DAP. Hanya setelah masing-masing parti memperolehi kemenangan besar khasnya di 4 buah negeri baru, barulah idea Pakatan Rakyat muncul iaitu gabungan politik baru antara PAS, PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan di negeri-negeri baru berkenaan. (tanpa PAS kerajaan Selangor dan Perak tidak dapat dibentuk)
Itupun di Pulau Pinang, kerajaan negeri Pakatan yang ada lebih merupakan kerajaan campuran DAP dan PKR kerana PAS sekadar memiliki 1 kerusi, satu angka yang tidak significant.
Pakatan Rakyat tidak melalui perbincangan komprehensif yang melibatkan dasar dan halatuju, ia sekadar suatu pakatan politik oleh parti-parti yang bersama membentuk majoriti memerintah 4 buah negeri baru.
Sememangnya kemunculan Pakatan memberi pengharapan kepada rakyat sebagai suatu alternatif kepada BN yang dikira sudah nazak dan tenat itu. Tetapi BN sudah melalui ranjau dan onar selama lebih 50 tahun, dari Perikatan ke BN, dalam eri kata lain mereka berpengalaman dalam kerjasama politik, sedangkan Pakatan Rakyat menjelma hanya selepas 8 Mac. Sudah pasti cabaran yang dihadapinya lebih besar dan menduga.
Apa pun PAS sebagai sebuah gerakan Islam menyertai Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat melalui kaedah hukum yang membenarkan, ini sangat berbeza dengan parti-parti lain. Sebagai sebuah parti Islam PAS tidak semborono atau tangkap muat dengan membelakangkan hukum dan peraturan. Kaedah fiqh yang PAS gunakan apabila menjalin kerjasama politik seumpama ini adalah TAHALUF SIYASI iaitu perjanjian persefahaman bagi bekerjasama dan bantu-membantu menghadapi musuh.
Tahaluf ini diizinkan oleh syariat berdasarkan syarat-syaratnya dan bukan kerana mengikut kepentingan atau nafsu sesiapa. Antara syarat-syarat tahaluf adalah:
1. Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip
2. Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan
3. Tidak berwala’ kepada mush dan tidak redha dengan pegangan mereka
Saya percaya Tuan Guru memikirkan hal-hal ini apabila beliau menyuarakan darihal kedudukan Pakatan Rakyat dewasa ini dan peranan PAS yang sepatutnya. Jangan pinggirkan PAS kata beliau setelah PAS menyumbang besar ke arah kemenangan semua pihak. Tuan Guru menegaskan orang PAS bukan bodoh!
Sesungguhnya walaupun PAS memiliki kerusi Parlimen terkecil antara ketiga-tiga parti iaitu 23, namun kata Tuan Guru PAS punya 83 kerusi negeri berbanding DAP 73 dan PKR 40. Harus diingati dalam PRU lalu PAS memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi negeri dan melepaskan banyak kerusi Parlimen khasnya kepada PKR.
Malah mengikut satu kajian PAS memperolehi 1,146,620 undi atau 21.85% undi popular peringkat DUN berbanding 774,608 undi atau 14.76% PKR dan 707,608 undi ataun13.49% DAP. Ini menunjukkan PAS emnguasai undi dan kerusi peringkat DUN seluruh negara berbanding parti-parti lain dalam Pakatan, oleh itu sumbangan ini tidak seharusnya diperkecilkan.
Kerana itu saya boleh faham apabila Tuan Guru meminta supaya Islam diberi peluang untuk dilaksanakan sekurang-kurangnya bermula dengan orang-orang Islam sendiri, melalui kemenangan PAS, kerana inilah asas perjuangan PAS. Kalau itu dikesampingkan, ditolak tepi kerana berbagai anggapan dan helah termasuklah kononnya Malaysia ini negara sekular, maka tatkala itu perlukah PAS terus bertahaluf?
Mengapa Tuan Guru membangkitkan perkara ini sekarang? Jawapan saya, mengapa tidak?
Sebagai pemimpin jemaah kita akan dipertanggungjawabkan bukan hanya oleh ahli-ahli, yang bagi kita terlalu kecil berbanding dengan Allah swt di kemudian hari nanti. PAS semalam, hari ini dan insyallah sampai hari akhirat adalah sebuah parti Islam, dan selagi ia demikian maka Presiden dan pemimpinnya wajib mengenengah dan memperjuangkan dasar dan matlamatnya http://n32.blogspot.com/
|
Memantapkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat |
|
Harakahdaily |
|
HARAKAH: Apa penjelasan Tuan Guru mengenai dakwaan PAS ada perbincangan dengan Umno yang disensasikan media baru-baru ini? USTAZ HADI: PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Sasaran Islam ialah seluruh manusia bukan sahaja tertumpu kepada ahli PAS. Kita harus sampaikan mesej kepada pihak yang lain, sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad. Bukan sahaja bergerak dalam skop di Semenanjung Tanah Arab bahkan Baginda menghantar surat kepada raja-raja. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara kita. Kita jumpa dengan raja-raja dan tidak salah juga kita berjumpa dengan Umno untuk menyampaikan mesej kita. Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita? Maknanya benarlah dakwaan adanya pertemuan tersebut? Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka. Hasil pertemuan dan rumusan PAS? Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri. Sebagai contoh, dalam masalah pilihan raya. Yang dikira oleh Umno hanya untuk menangkan parti dia, bukan untuk memenangkan Islam. Dalam pilihan raya ke-12 pun Umno tidak kalah, yang kalah MCA, MIC. Mereka membuat pembahagian kawasan pilihan raya berdasarkan kepada kepentingan mereka. Penambahan kawasan baru itu dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor. Mengapa tidak ditambah kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah? Ini kerana mereka hendak menjaga kerusi mereka dan bukan kepentingan Islam. Dalam masa yang sama mereka membahagikan kerusi ataupun kawasan pilihan raya yang majoriti Islam kepada wakil rakyat yang bukan Islam. Ini tidak wajar. Cuba lihat dalam Pakatan Rakyat, DAP menang di kawasan majoriti kaum Cina, tetapi MCA dan MIC menang di kawasan majoriti Melayu yang diberi oleh Umno. Ini dengan sendiri boleh menghakiskan kedudukan orang Islam dari segi politik. Tetapi bukankah PAS mahu perpaduan yang lebih meluas? Sekarang ini kita menunggu apa respons daripada Umno dan rakyat. Dan saya pernah berucap dalam perhimpunan di Stadium Melawati, Shah Alam (di awal penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor). Saya tidak tahu mereka sedar atau tidak, tetapi saya sebut soal perpaduan nasional di kalangan parti politik yang perlu dibincangkan lebih serius dan bukan separuh jalan. Perpaduan ini tidak semestinya kita paksa semua parti masuk BN atau gabung satu parti. Ini termasuklah wujudkan demokrasi tulen sebagaimana negara yang sihat demokrasinya. Sebagai contoh bukan sahaja pembangkang boleh bangkang tetapi yang mewakili kerajaan juga boleh bangkang. Dalam negara kita, kalau wakil rakyat kerajaan yang bangkang ini akan diambil tindakan disiplin. Bahkan di Barat parti kerajaan boleh sokong undi tidak percaya, yang dibuat oleh pembangkang. Adakah di Malaysia hal ini berlaku? Tidak berlaku. Tuan Guru fikir Umno boleh terima pandangan PAS? Kepada PAS, orang Melayu mesti menjadi teras kepada politik negara. Ini diterima oleh semua kaum. Bukan pula bermakna hanya orang Melayu yang berhak dalam politik dan kekuasaan tetapi teras politik kita berpihak kepada orang Melayu sebab melihat kepada jumlah penduduk Islam yang majoriti dalam negara ini. Ini perlu diambil kira. Tapi malangnya Melayu sendiri hanyut dalam merealisasikan Islam itu sendiri sebagai kekuatan orang Melayu. Sebagai contoh kita tidak sedar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Agama lain berhak dianut dan diamalkan tetapi di sana ada peruntukan Jadual 9 yang menyekat pelaksanaan Islam setelah diserah Islam itu di bawah kuasa negeri. Tetapi ada peruntukan yang menghalang pelaksana syariat Islam dalam makna yang menyeluruh. Walaupun dalam mazhab Islam ada ulama yang sebut syariat Islam itu boleh dilaksanakan kepada orang Islam dan bukan Islam berhak diberi pilihan. Dalam beberapa perkara tertentu boleh kita bahagikan perundangan sebagai contoh kepada tiga bahagian. Yang pertama perkara yang diberi kepada penganut agama masing-masing dalam masalah ibadat undang-undang keluarga dan perkahwinan itu agama masing-masing. Dan di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Adapun orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada nak undang-undang ini atau tidak. Dan di sana ada hukum yang bersama seperti undang-undang jalan raya serta hak milik tanah pertanian dan kediaman tidak ada beza. Sepatutnya kita perkenalkan keadilan Islam ini kepada masyarakat di saat kita lihat kegagalan sistem yang lain daripada Islam. Mengenai perpaduan berteraskan Islam dan politik Malaysia, Melayu jadi tunggak. Bagaimana ini hendak diterjemah dalam Pakatan Rakyat. Adakah DAP boleh menerimanya? Sehingga hari ini kita hanyalah wujudkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya sahaja dengan melihat titik persamaan yang ada, seperti dalam menentang kezaliman, menuntut demokrasi yang bersih, menyeru supaya diperbetulkan penyelewengan yang berlaku, tangani rasuah. Ini perkara bersama. Tetapi bila kita ada kuasa di peringkat negeri, sebagai contoh, di sini kita lihat pembahagian yang saya sebut tadi. Dalam perkara yang jadi hak orang Islam, DAP tidak boleh sentuh itu hak orang Islam. Macam kita tidak sentuh hal agama mereka. Mereka janganlah sentuh soal hendak memperlahankan suara azan kita, seperti kita tidak minta dia jangan main mercun masa sambutan malam tahun baru, mereka kena saling hormatilah. Itu menandakan di sana ada beberapa perkara yang perlu dipertahankan dan hormat menghormati. Apa pandangan Tuan Guru mengenai rundingan yang berlaku antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan kelompok yang hendak menyertai Pakatan Rakyat? Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya. Adakah ini salah faham (mengenai hubungan PAS-Umno)? Orang lain boleh jumpa Umno, kenapa PAS tidak boleh jumpa Umno? Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat. Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita. Oleh sebab itu, tidak timbul isu mengapa orang PAS jumpa Umno. Itu politik kampung sahaja yang tidak boleh (melarang) jumpa dengan Umno dan orang PAS. Kita dah uar-uarkan ‘engagement’ yang disebut dalam muktamar kita, ini keterbukaan kita. Penerimaan ahli PAS mengenai ‘engagement’ seperti ini macam mana? Saya lihat inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pilihan raya umum ke-12 yang telah memberi kemenangan kepada PAS. Dan orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan. PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya. Mungkin PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat? Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri. Negeri kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40. Ini perlu dilihat bukan lihat kepada Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri. Dakwaan liwat terhadap Dato’ Seri Anwar. Adakah ia mengganggu Pakatan Rakyat atau PAS? Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri. Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau Mahkamah Sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke Mahkamah Syariah. Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah. Maknanya ia perlu selesai di mahkamah? Ya! Ya! Selesaikan di mahkamah …. Isu Anwar, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Altantuya dan macam-macam berlaku, telah mencetuskan kecelaruan politik sekarang. Apakah pandangan Tuan Guru? Malangnya yang memainkan isu ini adalah media. Media Melayu pula. Melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu. Adakah mereka tidak malu mengemukakan isu-isu ini (pendedahan hal peribadi yang mengaibkan), sedangkan kita menghadapi masalah kenaikan harga minyak, masalah inflasi yang lebih penting. Bagaimana hendak menangani masalah rasuah, masalah jenayah. Kes bunuh Altantuya adakah berbeza dengan kes bunuh Pak Long, Mak Ngah, Ah Chong di kampung yang dibunuh? … sama sahaja. Sepatutnya ialah soal keadilan itu untuk semua sebagaimana slogan dalam pilihan raya. Mengapa pembunuhan Altantuya ini dibesarkan, sedangkan pembunuhan di kaki lima dibiarkan? Yang penting penyiasatan yang adil kepada semua itu perlu. Dalam isu ini barangkali ada kepentingan politik sama ada tuduhan membabitkan Anwar ataupun Najib? Yang pertama sikap orang yang jadi pemimpin itu sendiri dan yang kedua sikap media itu sendiri. Mesti berpada-pada bukannya ‘loose’. Itu yang penting. Ada pandangan menyatakan perlunya pimpinan Melayu seperti Anwar, Tuan Guru sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk bincang soal Islam dan Melayu? PAS sudah lama mendesak muzakarah diadakan di kalangan pemimpin Islam dan parti-parti orang Melayu sejak tahun 50-an hingga kini. Keadaan itu masih terbuka. Bahkan sebaik sahaja buka pintu muzakarah, PAS (akan) sertai. Kalau dibuka itu respons kita. Tetapi asas muzakarah itu mestilah didasarkan kepada asas akidah dan ajaran yang dianuti oleh orang Melayu itu sendiri iaitu Islam. Berbalik kepada isu Anwar, mahu atau tidak isu membabitkan beliau perlu dihadapi dan diterima dan implikasinya kepada PAS juga yang sertai Pakatan Rakyat. Apa pandangan Tuan Guru? PAS ada pengaruh dan kedudukannya sendiri. PAS simpati dengan rakan Pakatan Rakyat yang terima padah dari fitnah ini dan kita sama-sama ambil tanggungjawab untuk mengatasinya sebaik mungkin. Tetapi PAS tetap utuh dengan sebagai parti yang ada akar umbi yang sudah lama dan bertapak begitu kuat. Dan saya rasakan bahawa apa yang ditumpukan oleh orang PAS ialah untuk menegakkan Islam itu dengan makna yang menyeluruh. Apabila banyak fitnah, adakah ini petanda sudah tiba masanya Malaysia menggunakan lebih banyak undang-undang Syariah supaya wujud keadilan dalam negara? Saya bersetuju! Islam pun perlu diberi peluang untuk dilaksanakan dan bermula dengan orang Islam sendiri sebagaimana yang kita luluskan di Kelantan dan Terengganu semasa PAS memerintah. Di mana undang-undang Syariah itu dimulakan dengan orang Islam. Sementara orang bukan Islam diberi pilihan sama ada mereka mahu undang-undang Islam atau tidak tetapi dalam kes peribadi dan agama kita tidak campur. Itu sudah jelas. Harapan Tuan Guru mengenai muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung Ogos ini? Muktamar kali ini ialah muktamar pascapilihan raya. Satu anjakan paradigma berlaku dalam politik negara secara umum termasuk orang PAS sendiri. Kita berjaya pecahkan tembok perkauman antara kaum dan pelbagai agama. PAS berjaya tubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh bukan Islam yang menyatakan sokongan kepada PAS secara terbuka. Mereka kerja secara sukarela kepada PAS. Mereka memenangkan calon PAS di peti-peti undi sebagai tambahan kepada kekuatan PAS yang sudah ada. Yang kedua, perubahan di kawasan bandar yang dapat maklumat moden melalui perkembangan ICT. Di sini menunjukkan betapa rakyat perlu dapat maklumat bebas dan terkini yang menyaksikan PAS dapat sokongan di bandar dan pinggir bandar. Ketiga, walaupun PAS tidak mendapat kerusi Parlimen sebanyak kerusi pada tahun 1999, namun kali ini berlaku satu perubahan. PAS dikatakan menjadi ‘king maker’ kepada politik negara. Dalam penyertaannya melalui kerajaan campuran di negeri yang tidak dikuasai sepenuhnya seperti di Kedah. Dalam keadaan PAS adakan campuran dengan parti lain di Perak, rakan Pakatan Rakyat memberi kepercayaan kepada PAS memimpin dua buah negeri Kedah dan Perak selain yang telah ada Kelantan. Satu negeri kepada Keadilan di Selangor dan satu negeri kepada DAP di Pulau Pinang. Jadi ini menunjukkan kepercayaan yang diberi Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri. Dan kita hargai kepercayaan ini. Apa yang penting PAS mesti laksanakan slogan semasa pilihan raya iaitu ‘Islam For All’. Itu mesti direalisasikan. Sebab itu kita harapkan NGO dan parti bukan Islam jangan risau dengan pelaksanaan ini. Kita harap apa yang disebut sebagai ‘Islamophobia’ tidak berlaku kepada rakyat Malaysia. Kita dah ada model di Kelantan. Kini masuk penggal kelima, dan di Terengganu satu penggal. Tidak ada sebab mereka risau jika kita realisasikan slogan tadi. Kepada ahli PAS, teruskan bekerja bukan sahaja untuk pilihan raya ke-12, dalam masa yang sama kerja selepas PRU-12 untuk isi kemenangan. Kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat kita harapkan supaya jentera PAS jangan digunakan untuk menjayakan pilihan raya ke-12 sahaja, sebaliknya selepas pilihan raya itu seolah-olah mereka tidak ada peranan lagi._ |
Kronologi 300.000 orang menghadiri upacara pengebumian
Al Marhum Dato’ Hj. Fadhil Mohd Noor
22 Jun 2002
10.30 malam berita keadaan yang mencemaskan mengenai Allahyarham diterima.
23 Jun 2002
1.30 pagi keadaan Allahyarham dapat distabilkan.
7.00 pagi berita Allahyarham sedang nazak telah diterima.
10.30 pagi berita sedih pemergian Allahyarham kita semua terima dari HUKM.
11.30 pagi jenazah Allahyarham dibawa ke bilik mayat untuk dimandikan, diwaktu inilah kita lihat ribuan rakyat telah memenuhi HUKM.
12.30 petang jenazah di bawa ke Surau Taman Jaya (bersebelahan HUKM) dengan diiringi dengan laungan takbir serta tahlil disepanjang jalan yang lebih 10,000 orang mengiringinya.
12.45 petang jenazah dilawati oleh Dymm Sultan Kedah dan telah disolat jenazah sebanyak 6 kali sebelum masuk waktu zohor. Dimana setiap kali solat jenazah lebih 3,000 orang menjadi makmumnya.
1.45 petang rakan-rakan bukan Islam dan muslimah dibenarkan melawat jenazah di surau taman jaya.
2.30 petang jenazah dibawa ke lapangan terbang TUDM subang dengan diiringi oleh ribuan kenderaan dan dimaklumkan lebih 5,000 pendokong BA telah berada di Subang.
2.55 petang jenazah sampai di Subang, dengan sambutan takbir, suasana sungguh pilu kerana rakyat marhaen dengan jumlah lebih 10,000 orang mengiringi jenazah Allahyarham dari HUKM ke Subang.
3.15 petang maklumat diterima DSAI telah dibenarkan untuk melawat Allahyarham di Subang, Usaha Nurul Izzah dan Nurul Nuha berbincang dengan Pak Lah di Subang telah berjaya untuk membawa DSAI ke Subang. Penerbangan 3.30 petang telah ditangguhkan untuk menunggu DSAI tiba dari Sungai Buluh.
4.40 petang memandang DSAI lewat tiba dan waktu sudah terlalu lewat, Pesawat TUDM dengan membawa lebih 100 penumpang telah berlepas tepat jam 4.40 petang dari lapangan terbang Subang ke Kepala Batas.
6.00 petang jenazah tiba di lapangan terbang Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 rakyat marhaen dan terus di bawa ke Darul Ulum di Pokok Sena, apa yang dimaklumkan lebih 100,000 orang telah menunggu di Pokok Sena.
7.00 petang dengan bantuan pihak polis dan kerjasama orang ramai jenazah selamat ditiba di Darul Ulum, walaupun jalan raya kesesakkan teruk lebih 20 km, kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari Tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km.
7.45 malam selepas solat maghrib dianggarkan lebih 250,000 rakyat marhaen telah berada di Pokok Sena untuk memberikan penghormatan terakhir ke Allahyarham.
8.30 malam maklumat yang diterima dari jarak 3km ke Darul Ulum telah tidak boleh dimasuki oleh orang ramai lagi, keadaan amat sesak dan padat. Apa yang dimaklumkan ada penyokong BA yang berjalan kaki sejak 6.30 petang ke Darul Ulum gagal sampai kerana keadaan sesak tersebut.
9.15 malam jenazah Allahyarham telah diusung ala intifadha dari Darul Ulum ke tanah perkuburan dengan diiringi laugan takbir yang bergempita seluruh Pokok Sena dan sayup-sayup kedengaran sambutan takbir tersebut dari para jamaah yang tidak sampai ke Darul Ulum.
9.30 malam jenazah selamat dikebumikan.
10.00 malam upacara bacaan talkin dan tahlil selamat dilaksanakan ditanah perkuburan di hadapan Darul Ulum.
10.30 malam rakyat marhaen datang bertali arus untuk menziarahi kubur Allahyarham, dan dijangkakan menjelang pagi ini masih ramai yang terus menziarahi serta sedekah bacaan yassin dikubur Allahyarham.
11.00 malam kami keluar dari kawasan Darul Ulum dengan bantuan unit amal yang memberikan kerjasama kepada kami melalui jalan lain.
Kini telah terbukti seorang pemimpin Islam yang dikasih pasti telah menunjukkan berkatnya di dunia lagi. Tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia, lebih 300,000 orang hadir dalam majlis pengkebumian seorang pemimpin. Allahyarham Datuk Hj.Fadhil Nor adalah insan yang bertuah kerana ratusan ribu rakyat marhaen hadir untuk memberi sedekah Al-Fatihah dan sama-sama solat ke atas jenazah beliau.
Hari ini Malaysia dan segala isi penduduknya pasti kehilangan seorang pejuang Islam, walaupun kepimpinan beliau dibenci oleh musuh politik, tapi Allah swt telah menunjukkan kepada umatnya Allahyarham adalah insan kerdil yang akan ditempatkan bersama para mujahid dan para syuhada di alam barzah.
Al-Fatihah untuk roh Allahyarham dan takziah kepada keluarga beliau serta pemimpin Parti Islam Semalaysia (PAS) serta BA. Semoga Allah swt akan mengampunkan dosa-dosa Allahyarham serta ditempatkan bersama para syuhadah.
Semoga ini akan memberikan kita keinsafan serta kembali kejalan Islam yang sejati lagi hakiki.
Biodata Al Marhum Presiden Pas YB Ustaz Dato Fadzil Nor
Presiden PAS Ustaz Dato Fadzil Noor meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 10.30 pagi 23 Jun 2002.
YB Ustaz Dato’ Hj Fadzil @ Ali bin Mohd. Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Setar, Kedah.
Sejarah awal pendidikan Ustaz Dato’ Hj. Fadzil Mohd. Noor bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran di peringkat menengah di Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama hingga tahun 1962.
Tahun 1963 beliau telah menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut.
Ustaz Dato’ Hj Fadzil Mohd. Noor telah mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Setar, Kedah. Kemudian setelah berkahwin turut bersama melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar bersama suaminya. Hasil perkahwinan beliau dikurniakan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’izzah, Muhamad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas.
Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah bahagian pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.
Beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah.
Walau bagaimanapun, pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM dianggap tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali bertugas sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau telah meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam PAS.
Selain aktif dalam politik, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Negeri Kedah.
Beliau pernah menganggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan memegang jawatan Setiausaha Penerangan Pertubuhan itu tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presiden ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA. Selain itu beliau juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974.
Beliau melibatkan diri dalam politik PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai Exco PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah meyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.
Tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS tahun 1989 sehingga sekarang dengan gelaran Presiden PAS.
Pembabitan awal Ustaz Dato’ Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah.
Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN kawasan tersebut.
Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan raya Umum 1995.
Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd. Mokhtar Abdullah dengan majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Hj. Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan terbaru pada Pilihan raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.
Hingga jam 10.30 pagi pada 23 Jun 2002, apabila Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Ustaz Dato’ Hj. Fadzil Mohd. Noor telah menerajui kepimpinan PAS dan diamanahkan sebagai Presiden parti.
AL-FATIHAH.










