
Siapa musuh kita?
March 15, 2009

Siapa musuh kita?
Saya pernah berdiskusi dengan seorang editor majalah Islam paling terkenal di Indonesia. Ada seorang mahasiswa bertanya kepadanya,
“Sungguh kita melihat umat Islam diratah dan dibunuh, lemahnya kita dari segala bidang. Apa sebenarnya musuh kita. Adakah mereka yang berperasangka buruk kepada Islam dan mahu menghancurkannya?”
Editor ini tersenyum lantas menjawab-
“bukan itu musuh kamu. Biar saya bagi tahu sajalah musuh kamu. Musuh kamu selaku mahasiswa ialah malas”
Ya, kita malas untuk fokus.
Kita malas untuk cemerlang dalam akademik, lantas kerja-kerja berpersatuan Islam kita jadikan alasan.
Kita malas memahami ideologi-ideologi lain, lantas kita kafirkan semuanya sebagai jalan pintas.
Kita malas bergaul dengan rakan-rakan bukan Islam dan tidak sebangsa, lantas kita terhadkan usrah dan dakwah kita pada yang muslim sahaja.
Kita malas ingin mematangkan diri, lantas menjadikan alasan untuk tidak berumahtangga.
Kita malas merancang kehidupan selepas graduasi, lantas menerima sahaja tawaran dari kerajaan.
Malas adalah musuh kita.
Inilah cabaran kita dalam cemerlang dalam ibadah sebagai mahasiswa. Buangkanlah sifat malasmu, ambilkan fikrah Islam dan fokus dalam kerja dan pengurusan.
Itulah intipatinya!